GPMS HARUS TUMPU URUSAN DI SEMENANJUNG, JANGAN 'KACAU DAUN' DI SABAH
—
Ahad, 4 Jun 2017
—
Add Comment
Kota
Kinabalu,4 Jun : Pergerakan Pemuda Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat)
menyelar tindakan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Zambri
Mohd Isa yang mahukan kerajaan Sabah bersikap lebih terbuka dalam isu
pelantikan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Ketua Pergerakan Pemuda Harapan Rakyat, Ir
Jovilis Majami berkata, gabungan itu dilihat cuba untuk memonopoli jawatan-jawatan
penting di Sabah yang sepatutnya diisi individu berkelayakan berasal daripada
negeri ini.
“Kenyataan yang dikeluarkan oleh Zambri pada
Jumaat lalu dilihat amat mengguris hati seluruh rakyat Sabah yang mana mereka
inginkan kerajaan negeri bersikap lebih terbuka jika jawatan Naib Canselor UMS diisi
oleh anak bukan Sabah.
“Beliau juga seolah-olah menganggap rakyat
Sabah masih jauh ketinggalan dari segi Pendidikan dan tidak layak untuk
menjawat jawatan terpenting di negeri ini seperti Naib Canselor UMS,”katanya
dalam satu kenyataan disini, hari ini.
Jovilis berkata, tindakan presiden GPMS itu
juga dilihat mahu rakyat Sabah tidak mempertikaikan individu yang dilantik
sebagai Naib Canselor meskipun bukan dari anak jati Sabah.
“Kemunduran sistem Pendidikan di Sabah adalah
disebabkan sikap tidak adil kerajaan pusat yang tidak menyalurkan peruntukan
sewajarnya terhadap Sabah.
“Peruntukan untuk memajukan bidang pendidikan
di Sabah amatlah kecil berbanding dengan status negeri ini sebagai wilayah yang
sama taraf dengan Semenanjung,”katanya.
Menurutnya, peruntukan bidang Pendidikan yang
kecil juga menghalang anak Sabah untuk bersaing dengan pelajar di Semenanjung
dipelbagai peringkat.
“Ini terbukti apabila infrastuktur sekolah di
negeri ini masih kurang memuaskan berbanding di Semenanjung yang cukup lengkap
pembangunan.
“Selain itu, kemudahan asas seperti elektrik,
air dan juga jalan raya turut berbeza selain kurang diliputi kemudahan
internet,”katanya.
Dalam pada itu, Jovilis berkata, meskipun
sistem Pendidikan di Sabah dilihat daif, pihak GPMS tidak layak untuk
menentukan individu berkelayakan untuk menerajui kepimpinan UMS.
“Justeru bagi pihak Pemuda Harapan Rakyat,
kami inginkan jawatan Naib Canselor UMS diisi oleh anak kelahiran Sabah.
“Oleh itu, kami juga berharap GPMS sebagai
persatuan yang dihimpuni oleh orang berilmu harus sedar mengenai isu ini dan tidak
menyokong usaha pihak-pihak tertentu sekiranya ianya bertentangan dengan
semangat pembentukan Persekutuan Malaysia,”katanya.
Terdahulu, Jumaat lalu, Presiden GPMS, Zambri
Mohd Isa mahu kerajaan Sabah dapat bersikap terbuka
dan menerima dengan hati yang terbuka sekiranya ada calon bukan berasal dari
negeri Sabah yang benar-benar berkaliber dipilih oleh pihak Kementerian
Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menerajui UMS.
tamat
0 Response to "GPMS HARUS TUMPU URUSAN DI SEMENANJUNG, JANGAN 'KACAU DAUN' DI SABAH"