"PERJUANGAN INI UNTUK RAKYAT SABAH" - Presiden Harapan Rakyat
—
Isnin, 24 Julai 2017
—
Add Comment
Putatan,24 Julai : Presiden Parti
Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) Datuk Seri Lajim Ukin meminta rakyat di
Sabah memberi peluang kepada parti politik tempatan khususnya Gabungan Sabah
(GS) untuk mentadbir kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)
akan datang.
Katanya, parti yang bernaung dibawah GS akan terus berusaha untuk
membuat tuntutan kepada pihak terbabit agar hak rakyat Sabah terbela
berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Apabila saya mengambil keputusan untuk menubuhkan sebuah parti, sudah
pasti antara matlamatnya adalah untuk berjuang dan mempertahankan hak-hak
rakyat Sabah yang dilupakan oleh kerajaan pusat.
“Justeru itu, saya bersama kepimpinan Harapan Rakyat memilih GS sebagai
landasan untuk berjuang bersama rakan komponen lain yang mempunyai misi dan
visi yang sama,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka
Aidilfitri Harapan Rakyat Bahagian Putatan disini, kelmarin.
Hadir sama isterinya Datin Seri Normilah Siong; Ketua Bahagian Harapan
Rakyat Putatan Engelbert Jekoney; Ketua Wanita Harapan Rakyat negeri Ester
Otion dan Ketua Wanita Muda Dayang Aezzy Liman.
Lajim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias berkata,
pihaknya juga turut meminta rakyat untuk bangkit dan bangun bagi memastikan
parti dalam GS berjaya membentuk kerajaan pada PRU14.
“Selain itu, rakyat juga perlu membantu GS bagi memastikan kerajaan
pusat yang sedia ada ditadbir oleh kerajaan baru dan sudah pasti, Sabah adalah
penyumbang kepada kemenangan di peringkat Parlimen.
“Jika sebuah kerajaan baru ditubuhkan diperingkat pusat, sudah pasti
kita akan dapat mengurangkan beban kos sara diri rakyat yang terus meningkat
sekarang,”katanya.
Dalam pada itu, Lajim berkata, pihaknya bersama GS inginkan kesamarataan
diberikan kepada rakyat di Sabah seperti yang ada di Semenanjung.
“Kita dapat lihat khususnya pembangunan yang ada, pembangunan di
Semenanjung lebih maju berbanding di Sabah.
“Oleh itu, rakyat perlu memberi peluang kepada GS untuk mentadbir
kerajaan negeri pada PRU14 akan datang agar pembelaan dan keseimbangan dapat
dilaksanakan dengan sebaiknya,”katanya.
0 Response to ""PERJUANGAN INI UNTUK RAKYAT SABAH" - Presiden Harapan Rakyat"