'ORANG LUAR' DENGKI DENGAN GABUNGAN SABAH
—
Isnin, 28 Ogos 2017
—
Add Comment
Kota
Kinabalu,27 Ogos: Presiden Parti Harapan
Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) Datuk Seri Lajim Ukin mahu semua ahli dan
kepimpinan parti dalam Gabungan Sabah (GS) terus berganding bahu bagi
memastikan senario politik dapat diubah selepas Pilihan Raya Umum ke14 (PRU14)
akan datang.
Katanya, ia dilihat perlu bagi memastikan parti
komponen dalam GS dapat mentadbir kerajaan baru selain menuntut kembali hak-hak
Sabah seperti yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Selain itu, kita di GS perlu sentiasa
mengamalkan sikap berdisiplin dalam perjuangan mendekati hati rakyat serta
menolak fitnah dan tohmahan dari pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Jika kita tidak mempunyai disiplin, sudah
pasti ‘orang luar’ akan melihat kita lemah, itu yang kita tidak mahu, kita mahu
GS ini menjadi sebuah gabungan yang terkuat di Sabah meskipun baru empat parti
tempatan bersatu,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada
Majlis Konvensyen Hak-Hak Sabah di sini, kelmarin.
Hadir sama
pada majlis itu Pengerusi GS Datuk Mohd Noor Mansur; Presiden Parti Solidariti
Tanah Airku (STAR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan; Presiden Parti Maju Sabah (SAPP)
Datuk Seri Yong Teck Lee dan Presiden Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) Datuk
Mohd Arshad Abdul Mualap.
Lajim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri
(ADUN) Klias berkata, pihaknya turut melahirkan rasa kecewa apabila sering
dikaitkan dengan fitnah dan tohmahan yang tidak bertanggungjawab selain sengaja
melemahkan perjuangan GS.
“Ada kalanya saya rasa kecewa apabila parti
dan pemimpin dalam GS dikaitkan dengan fitnah yang mengatakan gabungan ini ‘mesra
Barisan Nasional (BN)’ ‘ejen BN’ dan pelbagai lagi.
“Namun ingin saya tegaskan, jangan sesekali
kita mendengar apa-apa tuduhan yang tidak memberi kebaikan untuk kita, mereka
yang memfitnah ini sememangnya dengki dan cemburu apabila GS terus mendapat
sokongan rakyat Sabah,”katanya.
Sementara itu, Lajim berkata, pihaknya mahu
semua ahli dan kepimpinan parti dalam GS untuk terus bersedia menghadapi PRU14
yang akan diadakan bila-bila masa.
“PRU 14 semakin hampir, kita perlu melihat
bagaimana untuk kita mempertahankan momentum perjuangan GS kepada rakyat ini
berterusan sehingga PRU akan datang.
“Kita perlu bekerjasama dalam satu pasukan
dan sudah pasti saya yakin semua pejuang parti dalam gabungan sudah bersedia
sepenuhnya,”katanya.
0 Response to "'ORANG LUAR' DENGKI DENGAN GABUNGAN SABAH"