WADA SELAMI HATI RAKYAT MELALUI SIRI JELAJAH
—
Ahad, 20 Ogos 2017
—
Add Comment
Oleh : Norjanah Maidin
Kudat,20 Ogos : Pergerakan Wanita
Muda (WADA) Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) akan terus komited
untuk mendekati golongan muda disemua peringkat khususnya mereka yang berada di
luar bandar.
Ketua WADA Dayang Aezzy Liman berkata, golongan muda khususnya wanita di
luar bandar perlu diberi pendedahan mengenai visi dan misi perjuangan sebuah
parti politik tempatan khususnya Harapan Rakyat yang memperjuangkan hak-hak
Sabah.
“Kita sedia maklum, ada golongan muda diluar bandar kurang terdedah
dengan teknologi terkini seperti internet mahupun laman sosial, justeru dipihak
WADA kita akan terus mendekati mereka ini.
“Mereka ini juga perlu digalakkan untuk menyertai bidang politik sebagai
wadah perjuangan bagi menyuarakan permasalahan rakyat setempat,”katanya.
Beliau berkata demikian pada Ceramah Berkelompok di Kampung Dumpiring
sempena Siri Jelajah WADA disini, kelmarin.
Hadir sama, Penyelaras Harapan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN)
Tanjung Kapur Aini Abd Salam; Timbalan Ketua WADA negeri merangkap Ketua Penyelaras Parlimen Kudat Ramlah Nasir dan
Setiausaha WADA Zuridah Asat.
Dayang Aezzy berkata, pihaknya juga akan memberi perhatian kepada
keperluan golongan muda di kawasan bandar.
“Mereka ini juga adalah golongan terpenting dalam pembentukan sebuah
kerajaan, mereka ini perlu diambil perhatian kerana mereka adalah pelapis
pemimpin akan datang.
“Selain itu, kami turut menyeru golongan muda yang masih belum mendaftar
diri sebagai pemilih agar mendaftar segera di Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),”katanya.
Dalam pada itu, Dayang Aezzy berkata, menerusi siri jelajah yang
diadakan buat julung kalinya, pihaknya mampu mendengar luahan hati permasalahan
rakyat disemua peringkat.
“Dalam siri jelajah kali pertama ini, masyarakat setempat yang ditemui
rata-rata meluahkan kekecewaan mereka terhadap kerajaan sedia ada.
“Mereka juga turut meluahkan beberapa pembangunan kurang dibangunkan
khususnya di luar bandar selain mereka menolak sepenuhnya parti pimpinan yang ‘lahir’
dari Semenanjung untuk bertapak di Kudat seterusnya di Sabah,”katanya.
* Mohon letak kredit atau sumber jika ingin menggunakan bahan berita ini untuk ruangan blog anda. Terima Kasih
0 Response to "WADA SELAMI HATI RAKYAT MELALUI SIRI JELAJAH"