'SABAH DAY' BANGKIT SEMANGAT RAKYAT SABAH
—
Jumaat, 1 September 2017
—
Add Comment
Oleh : Terrence Yong
Kundasang, 01 Sept : Presiden Parti
Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) Datuk Seri Lajim Ukin mengajak rakyat
negeri ini untuk menjayakan Agenda Borneo yang diperjuangkan oleh parti politik
tempatan dalam Gabungan Sabah (GS).
Katanya, Agenda Borneo yang diperjuangkan oleh parti komponen dalam GS
itu adalah untuk rakyat Sabah seterusnya generasi yang akan datang.
“Saya
juga ingin mengajak semua rakyat di Sabah untuk bersama dalam satu pasukan bagi
memastikan negeri ini terus membangun, maju, adil dan saksama dalam pelbagai
perkara termasuk pentadbiran kerajaan.
“Selain
itu, saya juga yakin bahawa Sabah akan ditadbir oleh anak-anak negeri ini
sendiri selepas Pilihan Raya Umum ke14 (PRU14) akan datang dan tidak akan
mengikut telunjuk ‘orang luar’,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan ‘Sabah Day’
di Pekan Kundasang disini, kelmarin.
Hadir sama pada majlis itu Pengerusi GS Datuk Mohd
Noor Mansur; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Dr Jeffrey
Kitingan; Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee dan
Presiden Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) Datuk Mohd Arshad Abdul Mualap.
Lajim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri
(ADUN) Klias berkata, rakyat Sabah juga perlu terus menghayati semangat perayaan
‘Sabah Day’ selain terus melangkah ke depan bagi mencipta kejayaan berganda
kepada negeri ini.
“Rakyat Sabah terdiri daripada 31
suku kaum dan sudah pasti perpaduan dikalangan semua suku kaum sejak dahulu lagi
berjaya meletakkan kita lebih layak untuk mendahului slogan 1 Sabah dan
bukannya 1 Malaysia.
“Apa
yang lebih utama, untuk kita berjaya, kita perlu ada perpaduan, bersatu dan
berganding bahu demi kelangsungan kejayaan Sabah,”katanya.
Sementara itu, Lajim berkata, sambutan ‘Sabah Day’ yang disambut sejak
beberapa tahun lalu dilihat berjaya membangkitkan semangat rakyat untuk memastikan Sabah terus
merdeka, membangun dan maju.
“Tarikh
keramat kemerdekaan Sabah adalah pada 31 Ogos 1963 dan tahun inilah Borneo
Utara atau Sabah diiktiraf sebagai sebuah negara merdeka dan bebas dari jajahan
British, ini sendiri yang dinyatakan oleh Governor terakhir British di Sabah Sir
William.
“Fakta
penting kemerdekaan Sabah telah disembunyikan dari pengetahuan umum oleh pihak
yang tidak bertanggungjawab dan sejarah Malaysia gagal meletakkan sejarah Sabah
dalam perspektif yang betul dan sering diputar belit untuk kepentingan satu
pihak sahaja,”katanya.
tamat
LAJIM (dua kanan) bersama kepimpinan Gabungan Sabah (GS) hadir pada majlis sambutan 'Sabah Day' - Foto : Marcellus Manisah
0 Response to "'SABAH DAY' BANGKIT SEMANGAT RAKYAT SABAH"