HARAPAN RAKYAT TIDAK PERNAH JALIN KERJASAMA DENGAN PAKATAN HARAPAN, SETIA BERSAMA GABUNGAN SABAH
—
Jumaat, 20 Oktober 2017
—
Add Comment
Kota Kinabalu,20 Oktober :
Pergerakan Pemuda Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) membidas dakwaan
bekas Timbalan Setiausaha Agung parti itu, Jaimun @ Abdul Latif Mopuas yang
mengatakan Harapan Rakyat mengubah haluan untuk bekerjasama dengan Pakatan
Harapan (PH) kepada Gabungan Sabah (GS).
Ketua Pergerakan Pemuda Harapan Rakyat Sabah Jovilis Majami berkata,
tindakan beliau (Latif) itu juga dilihat sebagai pembohongan kepada rakyat
selain turut kecewa apabila tidak diumumkan sebagai calon bagi kerusi Dewan
Undangan Negeri (DUN) Matunggong.
“Seperti kebiasaan dalam mana-mana parti politik, suatu keputusan yang
dibuat perlu dibincangkan dan diputuskan melalui mesyuarat Ahli Majlis
Tertinggi (AMT) dan bukannya dibuat oleh presiden parti seperti yang dinyatakan
oleh beliau (Latif).
“Harapan Rakyat didaftarkan sepenuhnya pada 25 Oktober 2016 dan
menyertai GS secara rasmi pada Januari 2017 manakala dia keluar parti pada Mei
lalu dan dakwaannya itu juga tidak berasas kerana dalam tempoh berkenaan beliau
juga adalah AMT parti,”katanya dalam satu kenyataan disini.
Jovilis yang juga Ketua Pemuda Harapan Rakyat Kota Marudu berkata, Latif
yang juga bekas Timbalan Ketua Bahagian Harapan Rakyat Kota Marudu turut pernah
menyokong tindakan dan keputusan AMT untuk menyertai GS.
“Jika itu alasan beliau keluar dari parti, kenapa mengambil tempoh
sehingga empat bulan untuk meletakkan jawatan seterusnya keluar parti dan
bukannya pada awal tahun ini?,
“Latif juga dilihat kecewa apabila presiden parti, Datuk Seri Lajim Ukin
tidak mengumumkan nama beliau sebagai calon untuk DUN Matunggong ketika
pelancaran parti di Kota Marudu pada April lalu,”katanya.
Menurut Jovilis, kerusi DUN itu kini masih dalam perbincangan berikutan
terdapat pertindihan kawasan bersama rakan dalam GS.
Dalam perkembangan sama, Jovilis berkata, pihaknya turut meminta
kepimpinan tertinggi parti untuk menyiasat dakwaan berhubung ‘pendrive’ yang
mengandungi semua rahsia parti yang berada di tangan Latif.
“Dakwaannya itu dilihat sangat bahaya, jika ia benar maka tindakan
undang-undang perlu dikenakan terhadap Latif kerana ia berupaya menjejaskan
parti ketia pilihan raya semakin hampir,”katanya,
Terdahulu, Naib Presiden 1 Patrick Sadom turut membidas kenyataan Latif
dan Harapan Rakyat tidak pernah membuat keputusan untuk bekerjasama dengan
parti yang bukan ‘lahir’ di Sabah.
0 Response to "HARAPAN RAKYAT TIDAK PERNAH JALIN KERJASAMA DENGAN PAKATAN HARAPAN, SETIA BERSAMA GABUNGAN SABAH"