YAKIN MAMPU 'AMBILALIH' KERUSI KOTA MARUDU
—
Jumaat, 8 Disember 2017
—
Add Comment
MAIJOL melalui titian kecil sebelum ke majlis berkenaan
Oleh : Marcellus Manisah
Kota Marudu, 8 Disember : Parti Harapan Rakyat Sabah
(Harapan Rakyat) yakin mampu untuk mengambilalih kerusi Parlimen Kota Marudu
pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) akan datang.
Timbalan Presiden 1 Harapan Rakyat Datuk Maijol Mahap
berkata, kerusi yang dipegang oleh Barisan Nasional (BN) melalui parti komponen
Parti Bersatu Sabah (PBS) itu dilihat tidak mampu menjaga kepentingan rakyat
setempat.
“Kita dapat lihat, di Parlimen Kota Marudu masih
serba kekurangan sejak pimpinan PBS dan BN ‘menjaga’ kawasan ini sejak lebih 20
tahun lalu.
“Lebih malang lagi, beberapa permintaan rakyat tidak
ditunaikan dan kita ambil contoh yang dekat iaitu mereka tidak dapat membina
jambatan di Kampung Morion Sarayo ini,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap
merasmikan cawangan Harapan Rakyat di Kampung Morion Sarayo baru-baru
ini.
Hadir sama Naib Ketua Bahagian Jamadil Idaron dan
Ketua Pemuda Harapan Rakyat Jovilis Majami.
Maijol yang juga Ketua Bahagian Harapan Rakyat Kota
Marudu berkata, ketiadaan jambatan itu juga menyukarkan penduduk untuk membawa
masuk kenderaan mereka berhampiran rumah.
“Ketika saya datang ke sini, hanya titian kecil yang
dibina menggunakan bambu dan ia amat bahaya apabila musim air pasang atau
banjir.
“Sudah pasti, apabila saya diberi kepercayaan untuk
menjadi wakil rakyat kelak, saya tidak akan mengecewakan harapan rakyat kepada
saya,”katanya.
Pada majlis yang mulanya sekadar ceramah kelompok
bertukar kepada penubuhan cawangan dimana sebanyak 40 borang keahlian berjaya
diisi.
Dalam pada itu, seorang pemerhati politik tempatan
Peter Marajin turut mengesahkan keahlian dengan menyertai Harapan Rakyat
pada 4 Disember lalu.
0 Response to "YAKIN MAMPU 'AMBILALIH' KERUSI KOTA MARUDU"