TIMBALAN PRESIDEN HARAPAN RAKYAT, DATUK MAIJOL BAKAL BERTANDING REBUT KERUSI KOTA MARUDU
—
Rabu, 10 Mei 2017
—
Add Comment
Kota Marudu,08 Mei : Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) Datuk Seri Lajim Ukin mengumumkan akan meletakkan timbalannya, Datuk Maijol Mahap sebagai calon untuk bertanding di kerusi Parlimen Kota Marudu pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) akan datang.
Katanya, daya kepimpinan timbalannya (Maijol) terhadap rakyat di daerah ini mampu meriah sokongan padu termasuk kerjasama daripada rakan Gabungan Sabah (USA) yang semakin erat.
“Kita percaya, kerusi Parlimen Kota Marudu akan dapat kita rampas dari penyandang sedia ada pada PRU14 akan datang.
“Ini kerana kerjasama erat antara rakan gabungan yang semakin kuat di Kota Marudu selain ahli parlimen kini gagal menyuarakan hak rakyat di Parlimen,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bahagian Kota Marudu disini, kelmarin yang dihadiri lebih 2,000 orang.
Hadir sama, Pengerusi Gabungan Sabah Datuk Mohd Noor Mansor, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee, Presiden Parti Perpaduan Rakyat Sabah ( PPRS), Dato Mohd Arshad ; Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanahairku (STAR) Edward Linggu dan Timbalan Presiden Harapan Rakyat Datuk Maijol Mahap.
Lajim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias berkata, ia juga selaras dengan kehendak rakyat yang mahu USA mewakili kawasan ini.
“Ini adalah bagi memastikan kehendak dan tuntutan yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat disuarakan tanpa rasa takut dan gentar dengan ugutan pihak luar.
“Selain itu, saya juga ingin menyeru kepada semua untuk terus menyokong mana-mana parti yang dicalonkan melalui USA pada PRU14 akan datang,”katanya.
Katanya, Harapan Rakyat dan USA akan terus komited dalam perjuangan membela kepentingan rakyat Sabah.
“Ketiadaan Parti Cinta Sabah (PCS) yang keluar daripada USA sedikit pun tidak memberi kesan kepada gabungan malah sokongan dari rakyat terus kuat dan kukuh,”katanya.
Terdahulu, pada majlis itu, Lajim turut menerima borang keahlian daripada penduduk Kota Marudu termasuk beberapa ahli jawatankuasa UMNO kawasan itu.
0 Response to "TIMBALAN PRESIDEN HARAPAN RAKYAT, DATUK MAIJOL BAKAL BERTANDING REBUT KERUSI KOTA MARUDU"