Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, Datuk Seri panglima Hj Lajim Hj Ukin
Barisan Kepimpinan Tertinggi Parti Harapan Rakyat Sabah
Kosong
MAJLIS MEMPERINGATI TRAGEDI DOUBLE SIX - 6 JUN 2017
GAMBAR PILIHAN MINGGU INI

WARISAN 'JUAL MAHAL' UNTUK KERJASAMA DENGAN GABUNGAN SABAH


LAJIM menyampaikan sumbangan kepada anak kurang berkemampuan pada majlis itu

KOTA KINABALU: Gabungan Sabah menyifatkan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang diketuai bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak ikhlas untuk bekerjasama bagi berdepan dengan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang.
  Pengerusinya, Datuk Mohd Noor Mansoor, berkata keadaan itu menyebabkan pihaknya sukar menjalin kerjasama dengan Warisan bagi membentuk sebuah pakatan pembangkang untuk memastikan pertandingan satu lawan satu dengan BN.
  Beliau berkata, walaupun Gabungan Sabah tidak sekuat Warisan dari segi kemampuan kewangan, ia masih berupaya menarik sokongan rakyat untuk mengalahkan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang dijangka diadakan pada tahun ini.
  "Shafie pada mulanya seperti mahu bekerjasama dengan kita. Sebelum ini, dia selalu jemput saya dan pemimpin parti Gabungan Sabah dalam program parti itu tetapi kita lihat dia ada agenda tersembunyai dan dari situ menampakkan Warisan sebenarnya tidak ikhlas.
  "Dia (Warisan) fikir mereka kuat dan banyak 'fulus, (duit) tetapi lupa sejarah politik Sabah sebelum ini menunjukkan parti kecil yang tiada apa-apa seperti Parti Berjaya mampu memenangi pilihan raya pada 1975.
  "Begitu juga pada 1985, tiada siapa sangka Parti Berjaya dikalahkan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang baru ditubuhkan ketika itu. Rakyat Sabah pasti masih ingat dua peristiwa ini dan fikir ia boleh berulang dengan menyokong Gabungan Sabah," katanya.
  Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa anjuran Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Datuk Lajim Ukin, di sini, baru-baru ini.
  Gabungan Sabah merangkumi kerjasama parti pembangkang tempatan Sabah iaitu Harapan Rakyat, Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS).
  Dalam hal lain, Mohd Noor berkata gabungan itu sudah menyelesaikan kira-kira 80 peratus soal pengagihan kerusi yang akan ditandingi keempat-empat parti bagi mengelak pertembungan sesama sendiri pada PRU-14.
  Katanya, konsep gabungan itu adalah idea baharu yang diwujudkan sebagai langkah utama untuk menyaingi BN dan parti pembangkang lain selain menyatukan rakyat dengan pelbagai latar belakang politik demi kepentingan negeri.
  Terdahulu, Lajim berkata setakat ini belum ada perbincangan dengan parti pembangkang lain berhubung usaha memastikan pertandingam satu lawan satu dengan BN.
  "Walaupun kita tahu ada parti yang tidak mahu mengalah apabila perkara ini dibincangkan, akhirnya mereka perlu sedar hanya pertandingan satu lawan satu dapat memastikan peluang kita untuk mengalahkan BN lebih cerah," katanya.
  Katanya, Harapan Rakyat yang diketuainya sudah bersiap sedia menghadapi pilihan raya menerusi pembentukan jentera di semua kawasan yang bakal ditandingi parti itu./ SUMBER : BH ONLINE

KONGSIKAN SEKARANG

0 Response to "WARISAN 'JUAL MAHAL' UNTUK KERJASAMA DENGAN GABUNGAN SABAH"