HARAPAN RAKYAT AKAN PASTIKAN ROYALTI MINYAK DAN GAS DITAMBAH
—
Ahad, 23 Julai 2017
—
Add Comment
Kuala
Penyu,23 Julai : Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) akan memastikan bayaran
royalti minyak dan gas ditambah kepada 20 peratus bagi negeri ini berbanding
lima peratus sekarang.
Presidennya Datuk Seri Lajim Ukin berkata, pihaknya
bersama rakan Gabungan Sabah (GS) yakin perkara itu akan dapat diperjuangkan apabila
berjaya menubuhkan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan
datang.
“Ini adalah antara matlamat parti kita dan
saya juga berkeyakinan perkara ini menjadi perkara penting dalam visi dan misi
rakan gabungan yang lain.
“Tuntutan untuk menambah kepada 20 peratus royalti
minyak dan gas ini adalah sah mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) selain
kita juga akan menuntut beberapa perkara lain yang di ‘anaktiri’ oleh kerajaan
pusat,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap ketika
menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Harapan Rakyat Dewan Undangan Negeri
(DUN) Kuala Penyu disini, kelmarin.
Lajim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri
(ADUN) Klias berkata, tuntutan bayaram royalti itu dilihat penting dan perlu
bagi memberi pembangunan berterusan kepada rakyat di negeri ini.
“Rakyat khususnya di Sabah sedia maklum, hasil
minyak dan gas datang dari negeri ini namun kita hanya memperoleh
royalti sebanyak lima peratus dan itu dilihat sebagai tidak adil.
“Ini adalah suara rakyat, bayangkan jika royalti
dapat 20 peratus, kita boleh menghasilkan bajet yang lebih besar untuk rakyat
dari segi pembangunan, bantan dan sebagainya,”katanya.
Tambahnya, hasil royalti yang ada kelak mampu
menghapuskan dasar kemiskinan yang ada di Sabah.
Dalam pada itu, Lajim berkata, penubuhan
Harapan Rakyat adalah aspirasi kepada kehendak rakyat yang inginkan perubahan
senario politik khususnya di Sabah.
“Bagi Harapan Rakyat, kita ingin mengangkat
martabat bangsa di negeri ini dan kita juga tidak mahu bergantung kepada ‘rumah’
orang lain untuk memimpin kerajaan Sabah,”katanya.
0 Response to "HARAPAN RAKYAT AKAN PASTIKAN ROYALTI MINYAK DAN GAS DITAMBAH"