LAJIM TIDAK TERBABIT LULUS TANAH PROJEK GULA SABAH
—
Rabu, 9 Ogos 2017
—
Add Comment
Kota Kinabalu,9 Ogos : Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Klias Datuk Seri Lajim Ukin menyatakan bahawa pihaknya
tidak bersetuju dengan pelaksanaan projek Gula Sabah di kawasan seluas
kira-kira 3,200 hektar di Kuala Penyu.
Katanya, projek yang dilaksanakan pada awal 1990-an itu dilihat tidak
sesuai kerana keluasannya yang tidak mencukupi untuk projek ladang tebu
berskala besar.
“Saya ada tanya projek ladang tebu di Chuping, Perlis, mereka
memaklumkan 3,200 hektar adalah tidak cukup, sekurang-kurangnya 12,000 hektar
baru sesuai.
“Selain itu, saya ingin menyatakan bahawa saya tidak terbabit dalam
meluluskan tanah untuk projek Gula Sabah ketika masih berada dalam kerajaan
negeri,”katanya.
Beliau berkata demikian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah,
di sini, kelmarin.
Terdahulu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman ketika menjawab
soalan tambahan Lajim berkata, kerajaan mengambil keputusan membatalkan projek berkenaan
selepas mendapati tapak projek itu kurang sesuai untuk penanaman tebu, selain
tidak cukup luas dari segi pulangan ekonomi.
Musa berkata, projek itu tidak akan dihidupkan semula, sebaliknya
kerajaan akan memikirkan projek lain yang lebih sesuai dilaksanakan di tapak
berkenaan, selain menggalakkan pembangunan pelancongan bagi daerah itu.
“Tempat itu tidak sesuai, kilang gula ini bukan senang , cuaca , tanah
semua perlu diambil kira, saya percaya projek ini tidak diteruskan memandangkan
ia tidak sesuai.
“Gula (tebu) pula memerlukan cuaca yang panas, tidak banyak hujan,
tetapi lokasi ini selalu dilanda banjir, tanah gambut. Lagipun, untuk membina
kilang saja sekurang-kurangnya 10,000 ekar (4,000 hektar) diperlukan sedangkan
luas tapak kurang daripada itu," katanya.
0 Response to "LAJIM TIDAK TERBABIT LULUS TANAH PROJEK GULA SABAH"