Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, Datuk Seri panglima Hj Lajim Hj Ukin
Barisan Kepimpinan Tertinggi Parti Harapan Rakyat Sabah
Kosong
MAJLIS MEMPERINGATI TRAGEDI DOUBLE SIX - 6 JUN 2017
GAMBAR PILIHAN MINGGU INI

GPMS HARUS TUMPU URUSAN DI SEMENANJUNG, JANGAN 'KACAU DAUN' DI SABAH


Kota Kinabalu,4 Jun : Pergerakan Pemuda Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) menyelar tindakan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Zambri Mohd Isa yang mahukan kerajaan Sabah bersikap lebih terbuka dalam isu pelantikan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS).
  Ketua Pergerakan Pemuda Harapan Rakyat, Ir Jovilis Majami berkata, gabungan itu dilihat cuba untuk memonopoli jawatan-jawatan penting di Sabah yang sepatutnya diisi individu berkelayakan berasal daripada negeri ini.
  “Kenyataan yang dikeluarkan oleh Zambri pada Jumaat lalu dilihat amat mengguris hati seluruh rakyat Sabah yang mana mereka inginkan kerajaan negeri bersikap lebih terbuka jika jawatan Naib Canselor UMS diisi oleh anak bukan Sabah.
  “Beliau juga seolah-olah menganggap rakyat Sabah masih jauh ketinggalan dari segi Pendidikan dan tidak layak untuk menjawat jawatan terpenting di negeri ini seperti Naib Canselor UMS,”katanya dalam satu kenyataan disini, hari ini.
  Jovilis berkata, tindakan presiden GPMS itu juga dilihat mahu rakyat Sabah tidak mempertikaikan individu yang dilantik sebagai Naib Canselor meskipun bukan dari anak jati Sabah.
  “Kemunduran sistem Pendidikan di Sabah adalah disebabkan sikap tidak adil kerajaan pusat yang tidak menyalurkan peruntukan sewajarnya terhadap Sabah.
  “Peruntukan untuk memajukan bidang pendidikan di Sabah amatlah kecil berbanding dengan status negeri ini sebagai wilayah yang sama taraf dengan Semenanjung,”katanya.
   Menurutnya, peruntukan bidang Pendidikan yang kecil juga menghalang anak Sabah untuk bersaing dengan pelajar di Semenanjung dipelbagai peringkat.
  “Ini terbukti apabila infrastuktur sekolah di negeri ini masih kurang memuaskan berbanding di Semenanjung yang cukup lengkap pembangunan.
  “Selain itu, kemudahan asas seperti elektrik, air dan juga jalan raya turut berbeza selain kurang diliputi kemudahan internet,”katanya.
  Dalam pada itu, Jovilis berkata, meskipun sistem Pendidikan di Sabah dilihat daif, pihak GPMS tidak layak untuk menentukan individu berkelayakan untuk menerajui kepimpinan UMS.
  “Justeru bagi pihak Pemuda Harapan Rakyat, kami inginkan jawatan Naib Canselor UMS diisi oleh anak kelahiran Sabah.
  “Oleh itu, kami juga berharap GPMS sebagai persatuan yang dihimpuni oleh orang berilmu harus sedar mengenai isu ini dan tidak menyokong usaha pihak-pihak tertentu sekiranya ianya bertentangan dengan semangat pembentukan Persekutuan Malaysia,”katanya.
  Terdahulu, Jumaat lalu, Presiden GPMS, Zambri Mohd Isa mahu kerajaan Sabah dapat bersikap terbuka dan menerima dengan hati yang terbuka sekiranya ada calon bukan berasal dari negeri Sabah yang benar-benar berkaliber dipilih oleh pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menerajui UMS.


tamat

KONGSIKAN SEKARANG

0 Response to "GPMS HARUS TUMPU URUSAN DI SEMENANJUNG, JANGAN 'KACAU DAUN' DI SABAH"