Kota Kinabalu,14 November: Seorang
guru wanita, Asni Ismail,39, yang dikenakan hukuman penjara dua tahun oleh
Mahkamah Majistret di sini, baru-baru ini atas kesalahan menggunakan kad
pengenalan palsu membuktikan isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) sudah berada
ditahap kritikal.
Ketua Pergerakan Pemuda Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat)
Jovilis Majami berkata, tertuduh berkenaan sudah berkhidmat sebagai guru selama
12 tahun di salah sebuah sekolah di Ranau.
“Rakyat di Sabah sudah berdepan dengan masalah PATI sekian lama, namun
kerajaan sekarang masih menganggap ia sebagai masalah kecil yang tidak perlu
ditangani secara serius.
“Kita
sudah lihat hari ini, perkara yang dibimbangi rakyat Sabah nyata benar apabila
PATI sudah mula ‘menguasai’ pekerjaan di sektor kerajaan,”katanya dalam satu
kenyataan disini hari ini.
Jovilis yang juga Ketua Pemuda Harapan Rakyat Kota Marudu berkata, masalah
PATI yang sudah berlarutan sejak tahun 70 an ini tidak pernah diselesaikan
secara berkesan dari kerajaan pusat mahupun negeri.
“Hari ini kita dapati masih ramai anak jati Sabah yang menganggur,
terpaksa merantau di negara lain dan disenaraihitamkan oleh pihak PTPTN kerana tidak dapat membayar pinjaman
pendidikan.
“Namun sebaliknya mereka (PATI) ini pula mendapat pekerjaan dalam sektor
kerajaan dengan mendapat gaji dan kemudahan sebagai kakitangan kerajaan”katanya.
Sementara itu, Jovilis berkata, kerajaan sepatutnya perlu bertegas dalam
soal pekerjaan di dalam sektor awam ini kerana ianya bukan sahaja menafikan hak
anak jati Sabah untuk mendapatkan pekerjaan tetapi juga ada sesetengah sektor
awam.
“Saya meminta supaya kerajaan bertindak dengan segera untuk menyiasat
dan menyelidik semua pekerja-pekerja awam di Sabah ini supaya bebas daripada PATI,”katanya.
Susulan daripada itu, Jovilis berharap agar rakyat Sabah terbuka mata
untuk menolak kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14
akan datang kerana terbukti tidak dapat melindungi hak-hak rakyat Sabah yang
sepatutnya dijaga oleh kerajaan.
“Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk mengkaji masalah PATI di Sabah sehingga kini tidak didedahkan walaupun
sudah beberapa tahun siap.
“Saya percaya sekiranya isu PATI ini tidak ditangani secara tuntas maka
pada masa akan datang anak jati Sabah akan ditindas oleh mereka dan akhirnya
kita cuma menumpang di wilayah Sabah ini kerana mereka telah menguasai bumi
Sabah ini di semua sudut,”katanya.
Dalam pada itu, Jovilis turut menyeru agar rakyat Sabah menyokong Parti
Harapan Rakyat Sabah dan Gabungan Sabah (GS) pada PRU14 akan datang yang akan memperjuangkan
hak-hak Sabah.
0 Response to "IC PALSU BUKTI ISU PATI DI SABAH DITAHAP KRITIKAL"